UWAIS AL-QARNI
Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada
seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang,
berpenampilan cukup tampan.Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada
kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada
tangan kirinya. Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua
helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya
digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam
kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan
tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil
agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa'atnya. Ternyata
Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan
qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada
seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia
pada mata manusia...
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah
lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan
dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya. Tidak kurang juga yang
menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam
umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri
Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai
pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan
semula kepadanya. Uwais berkata:
"Aku khuatir, nanti orang akan
menuduh aku, dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada
membujuk pasti daripada mencuri."
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau
tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan
lumpuh tubuh badannya.
Hanya penglihatan kabur yang masih
tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari,
Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya
cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada
wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup
miskin dan serba kekurangan. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat
ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap
melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika
seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah
mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang
tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar
berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati
Uwais. Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya,
kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. Banyak
tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan
ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka
memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila
melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah
bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri
belum berkesempatan. Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan
yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya
bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang
sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya
nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud
Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh
musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais. Dia segera
memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti
kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan
kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam
lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia
dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat
memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri.
Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa
Rasulullah. Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia
meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk
pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur,
merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati
nurani anaknya, Uwais dan berkata, "Pergilah wahai anakku!
Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali
pulang." Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia
tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta
berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais
mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih
kurang empat ratus kilometer dari Yaman. Medan yang begitu panas
dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun
pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta
begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang
sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah.
Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil
mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam
Uwais. Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun
ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa
kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya
tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu
kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang. Bilakah beliau pulang? Sedangkan
masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu,
agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang."
Atas ketaatan
kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan
kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W. Dia akhirnya
dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke
negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang
dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W
langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad
S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia
adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit. Mendengar perkataan
baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W
dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan
sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau
kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai
tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang
kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda: "Suatu
ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia
adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun terus berjalan, dan tidak lama
kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar
as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A. Suatu ketika,
khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang
penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk
mencarinya bersama. Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman,
mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama
mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya
yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua. Rombongan kafilah dari
Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut
bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan
kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W
mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.
Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga
unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua
bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni. Sesampainya di khemah tempat Uwais
berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya
Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab
salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar
segera membalikkan tangan Uwais, untukmembuktikan kebenaran tanda putih yang
berada di telapak tangan Uwais,sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi
S.A.W. Memang benar! Dia penghuni langit.
Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu
tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun
tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba
Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama
saya Uwais al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah
bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.Itulah sebabnya, dia baru dapat turut
bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan
sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada
khalifah,
"Sayalah yang harus meminta
doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah
berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa
dan istighfar daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais
al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara
daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais
menolak dengan halus dengan berkata, "Hamba mohon supaya hari ini
saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang
fakir ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali
tenggelam dan tidak terdengar beritanya. Namun, ada seorang lelaki pernah
bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke
tanah Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus
dengan kencang. Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga
air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat
itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok
kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan
melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai waliyullah, tolonglah
kami!"
Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu
kami berseru lagi,
"Demi Zat yang telah memberimu
kekuatan beribadah, tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan
berkata,
"Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa
kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada
Allah!" Katanya.
"Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal
dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"
Kami pun keluar daripada kapal satu
persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh
ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya
tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi
korban, asalkan kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu,
siapakah nama Tuan?" Tanya
kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi
kepadanya, "Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah
milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."
"Jika Allah mengembalikan harta
kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di
Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua
rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam,
tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan
meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan
seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang
tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar
Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan
dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan
ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada
orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak
menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali
kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa
banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya
hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk
kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah
tak terlihat ada bekas di kuburnya."
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang
yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan
sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah
menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat
menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus
jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak
dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya
hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah
siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah
sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal,
hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah
sebagai penggembala?"
"Namun, ketika hari wafatmu, engkau
telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang
tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian
banyaknya."
Agaknya mereka adalah para malaikat yang
diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya.
Baru saat itulah penduduk Yaman
mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak
terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."
Biodata
Penulis :
Mochammad Khobar
Ordinary
people but someday will be Extraordinary



0 komentar:
Posting Komentar